Lampu Signal Lori Atas Highway

November 11th, 2013 Leave a comment Go to comments

Pernahkah semasa anda memandu atau menunggang motorsikal sambil mengekori sebuah lori atau kenderaan berat di atas lebuhraya, terdapat sesetengah darinya menyalakan lampu isyarat  (signal) kanan atau kiri sedangkan kelajuan kenderaan berat di hadapan anda masih sama? Tiada tanda-tanda ia akan membelok memasuki simpang atau hendak berhenti di tepi jalan.

Kenapa ya? Saja suka-suka nak main lampu signal?

Ada sebab pemandu lori sengaja pasang lampu signal ke kiri ke kanan itu. Pesan mereka, “Kita yang memandu kenderaan berat ni harus sentiasa memberi peluang kepada kenderaan ringan untuk memotong sekiranya ada ruang yang sesuai.

Caranya dengan menyalakan lampu isyarat kiri sekiranya ada kenderaan lain yang mengekori rapat di belakang sedangkan laluan dari hadapan tiada kenderaan atau kelihatan kenderaan dari hadapan masih jauh dan suasananya selamat untuk mereka memotong.

signal kiri

Sebaliknya pula, signal kanan akan dinyalakan jika laluan dari hadapan terdapat kenderaan lain yang mendatang.

signal kanan

“Kenapa pula? Kami kan ada mata, tak perlu lah nak ajar kami bila boleh memotong, bila pula tak boleh. Kami pun ada lesen laa…” mungkin ada yang menjawab begitu.

OK, fine. Mereka pemandu kenderaan berat bukan nak mengajar anda bila dan bagaimana hendak memotong kami. Cuma mereka ingin memberikan sedikit bantuan.

Bantuan dalam bentuk isyarat yang jelas sekiranya laluan yang kita sama-sama kongsikan itu adalah laluan yang terdapat beberapa selekoh atau agak berbukit. Mereka yang berada di hadapan anda dapat melihat dengan lebih jelas apa yang ada di hadapan kerana mereka berada di tempat pemandu yang lebih tinggi. Kabin pemandu kenderaan berat sentiasa lebih tinggi  dari kenderan biasa kecuali kabin pemandu bas dua tingkat yang sama tinggi dengan van.

Tambahan pula jika anda memandu kereta mengekori kenderaan berat yang tinggi, rapat di hadapan, apa yang anda nampak di laluan bertentangan hanya lah 20 peratus dari apa yang mereka pemandu kenderaan berat nampak. Sekiranya lampu signal dinyalakan, ia akan memberikan keyakinan kepada pemandu lain samada ia boleh memotong dengan selamat atau sebaliknya.

Seandainya anda memotong namun ruang yang ada sudah menjadi terhad (kerana kesilapan pemandu kenderaan berat yang memberikan signal kiri) mereka pasti akan menekan brek memperlahankan kelajuan untuk memberikan ruang kepada anda melepasi kenderaannya.

Signal kanan juga akan dinyalakan seandainya terdapat halangan di hadapan, contohnya terdapat kenderaan lain yang sedang berhenti untuk masuk ke simpang rumahnya, atau pun terdapat kerja-kerja yang menganggu laluan biasa di hadapan. Namun amalan menyalakan signal ini sudah tidak lagi menjadi perbuatan biasa di kalangan pemandu kenderaan berat di negara ini sekarang. Hanya segelintir sahaja yang masih melakukannya.

Ramai pemandu zaman ini yang keliru dengan lampu isyarat yang dinyalakan. Ada kereta yang terus memperlahankan kelajuan sebaik saja pemandu lori menyalakan lampu signal kiri tanda laluan selamat untuk memotong. Sangkanya hendak berhenti atau memasuki simpang agaknya? Sedangkan laluan itu tidak pun mempunyai simpang atau bahu jalan yang selamat untuk berhenti.

Bila di berikan signal kanan tanda laluan masih belum selamat untuk memotong, ada yang memotong dari sebelah kiri pula! Sehinggakan sampai sanggup turun di bahu jalan untuk memotong. Serba salah di buatnya samada hendak memberikan isyarat sedemikian lagi.

Kepada yang memotong selepas mendapat isyarat sedemikian, jangan lupa bunyikan horn dua kali (dua kali, tau!)
Makna : Tin (terima) Tin (kasih). Anda akan membuat pemandu kenderaan berat itu merasa dihargai. Dan dia pasti akan membalas dengan horn juga! Phooon! (Air Horn – jangan terperanjat pula… hehe).

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.